Friday 20 June 2014

MINGGU MESRA PUSAT SUMBER PKM KEMAS BUKIT GANTANG

Oleh : Asha Ahmad
Foto : Azie Ali


BUKIT GANTANG, 28.3.2014 ( Jumaat ) – MINGGU MESRA PUSAT SUMBER itulah tema Program yang dilaksanakan oleh Pusat Sumber KEMAS PKM Bukit Gantang sempena cuti sekolah penggal pertama pada tahun ini. Program ini telah berlansung selama 5 hari bermula pada hari Isnin ( 24.3.2014 ) sehingga hari Jumaat ( 28.3.2014 ). Program ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Seramai 183 penyertaan telah diterima melalui 5 pertandingan yang telah dijalankan. Antara pertandingan-pertandingan yang dijalankan adalah pertandingan mewarna, pertandingan kuiz perngetahuan am, pertandingan batu seremban, pertandingan dam dan pertandingan congkak.

Menjadi tonggak utama program ini merupakan Jawatankuasa Kelas yang memberi sokongan dan dokongan tanpa rasa jemu demi kelansungan program selama satu minggu. Berbeza dengan program yang dijalankan sebelum ini, Majlis Penutupan Program “ Minggu Mesra Pusat Sumber “ ini telah mengajak peserta-peserta Pusat Sumber untuk bersama-sama membaca Surah Yassin yang di Khalifahkan oleh  Al-Fadil Ustaz Mohd. Khairi bin Musa, Pemaju Masyarakat Bina Insan KEMAS Parlimen Bukit Gantang bagi memberi keberkatan serta kejayaan didalam menjalankan tugasan harian serta mohon memberi kesabaran kepada waris penumpang MH370 yang masih hilang tanpa dapat dikesan.

Kronologi Minggu Mesra Pusat Sumber :-

24.3.2014 – Pertandingan Mewarna Tahap 1 dan 2
25.3.2014 – Pertandingan Kuiz Pengetahuan Am Tahap 1 dan 2
26.3.2014 – Pertandingan Batu Seremban Tahap 1 dan 2
27.3.2014 – Pertandingan Dam Tahap 1 dan 2
28.3.2014 – Pertandingan Congkak Tahap 1 dan 2
                  - Majlis Bacaan Yassin
                  - Perasmian Penutup
                  - Majlis Penyampaian Hadiah


Didalam ucapan Perasmian Penutup, Pegawai KEMAS Daerah berharap semoga Pusat Sumber PKM Bukit Gantang akan terus maju demi kecemerlangan peserta-peserta yang hadir. Beliau juga mahukan Pusat Sumber ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan sebaik mungkin.

Pn. Norlela binti Che Man, Pengerusi Pusat Sumber PKM Bukit Gantang, turut menzahirkan kesyukuran kerana Program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan beliau turut menyatakan hasrat untuk melaksanakan lagi Program sebegini pada cuti penggal yang kedua dengan kerjasama daripada Persatuan Pengguna pula.







Thursday 19 June 2014

MAJLIS BACAAN YASSIN SEMPENA MALAN NISFU SYAABAN KEMAS PARLIMEN BUKIT GANTANG

Oleh : Asha Ahmad
Foto : Ani Sally


BUKIT GANTANG, 12.6.2014 ( Khamis ) – Unit Bina Insan KEMAS Parlimen Bukit Gantang telah menganjurkan satu program bersama dengan masyarakat setempat di Masjid Pengkalan Aur bersempena malam sambutan Nisfu Syaaban. Pada program ini telah diadakan Majlis Bacaan Yassin yang dikhalifahkan oleh Al-Fadil Ustaz Mohd. Khairi bin Musa. Program ini turut disusuli dengan ceramah yang meliputi kenikmatan Malam Nisfu Syaaban serta kenikmatannya. Diantara yang disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Mohd. Khairi bin Musa adalah :-

Pengertian Malam Nisfu Syaaban.

Beliau menerangkan Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima belas Syaaban iaitu siangnya empat belas haribulan Syaaban. Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah dan umat Islam mempercayai bahawa pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat didalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh keberkatan dan rahmat selepas malam Lailatul qadr.

Beliau turut menyebut sabda Rasullulah:

Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Apabila dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Apabila dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Apabila dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya.  “


Program ini turut dihadiri oleh Pn. Hjh. Selabiah binti Awang, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Bukit Gantang. Beliau berharap supaya hadirin yang hadir dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi pada malam ini. Beliau turut menyatakan semoga majlis sebegini dapat dilaksanakan di setiap kelas Bina Insan di KEMAS Bukit Gantang khasnya.


Wednesday 18 June 2014

BENGKEL DWI MINGGUAN PRA SEKOLAH KEMAS BUKIT GANTANG BERKONSEPKAN MESRA ALAM

Oleh : Asha Ahmad
Foto : Ros Omar


BUKIT GANTANG, 12.6.2014 ( Khamis ) – Unit Pra Sekolah KEMAS Parlimen Bukit Gantang telah mendakan Bengkel Dwi Mingguan pada minggu lepas dengan berkonsepkan mesra alam. Bengkel pada kali ini telah dilaksanakan di Tabika KEMAS Pengkalan Aur.

Pada bengkel ini, telah diadakan demontrasi membuat baja organik. Baja organik ini dihasilkan daripada sayur kangkung dan gula merah. Demontrasi ini ditunjukkan oleh Pn. Fatimah binti Hamid, Pemaju Masyarakat Tabika Padang Serai Dalam. Seramai 35 orang Pemaju Masyarakat KEMAS Parlimen Bukit Gantang telah hadir pada bengkel yang dianjurkan pada kali ini.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Pn. Rosmawati binti Omar, Penyelia Pra Sekolah KEMAS Parlimen Bukit Gantang. Pn. Rosmawati selaku Penyelia PPS bagi Parlimen Bukit Gantang berharap supaya semua Pemaju Masyarakat dapat mempraktikkan pembuatan baja organik ini di Tabika masing-masing. Beliau juga menyatakan supaya hasil yang dituai tidak tercemar dengan baja kimia yang boleh didapati dipasaran. Beliau turut menegaskan supaya hasil tanaman bebas bahan kimia dan selamat untuk dimakan oleh kanak-kanak di Tabika KEMAS khasnya di Parlimen Bukit Gantang disamping memberikan makanan seimbang untuk tumbesaran kanak-kanak.

Bahan-bahan :-

1 kg – kangkung
1 kg – gula merah
1 botol balang sederhana besar

Cara penyediaan :-

11)    Kangkung dipotong halus.
22)  Gula merah diramas ( jangan ada yang berketul ).
33)    Masukkan kedua-dua bahan secara berselang seli didalam balang yang telah disediakan.
44)    Simpan / peram selama 1 atau 2 minggu.
55)    Boleh digunakan sebagai baja organik.

Info :-


Gula merah akan mencair apabila dicampurkan dengan kangkung dan akan menjadi baja setelah diperam. Untuk membaja sayuran, masukkan 1 sudu besar cecair baja tadi ke dalam satu liter air dan disiram kepada tanaman khususnya sayur-sayuran. Boleh juga digunakan betik ataupun ikan bagi menggantikan kangkung dan menggunakan kaedah yang sama seperti kangkung tadi. Selamat mencuba....







BENGKEL JAHITAN TUDUNG 3 LAYER KEMAS PARLIMEN BUKIT GANTANG

Oleh : Asha Ahmad
Foto : Ita Dza

BUKIT GANTANG, 7.5.2014 ( Rabu ) – Unit Bahagian Pendidikan Masyarakat KEMAS Bukit Gantang telah mengadakan Bengkel Jahitan Tudung 3 Layer di Bengkel Jahitan Trong. Bengkel ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan keluarga untuk penambahan pendapatan keluarga.Bengkel ini turut menerapkan dan menggalakkan peserta supaya lebih berdikari dengan memanfaatkan kemahiran yang diperolehi di Bengkel Jahitan KEMAS khasnya untuk keluarga sendiri disamping menjimatkan perbelanjaan. Bengkel ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada peserta dan masyarakat setempat. Bengkel ini telah dihadiri seramai 23 orang.

Bengkel ini telah diterajui oleh Pn. Zurita binti Dzahir, Pemaju Masyarakat KEMAS Bukit Gantang dan dibantu oleh Pn. Naemah binti Mohd. Latif dan Pn. Asra Nooraiza binti Abdul Rahim. Rata-rata peserta yang hadir mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada pihak KEMAS kerana dapat mengadakan bengkel seumpama ini kerana ianya amat bermanfaat untuk mereka bagi mengurangkan kos sara hidup dan mampu menjana ekonomi keluarga. Mereka juga berharap bengkel sebegini dapat diadakan secara berkala untuk masyarakat setempat.








MAJLIS BACAAN YASSIN SEMPENA MENYAMBUT RAMADHAN

Oleh : Asha Ahmad
Foto : Imah Latiff

BUKIT GANTANG, 16.6.2014 ( Isnin ) - Sempena menyambut bulan Ramadhan Al- Mubarak, Unit Bahagian Pendidikan Masyarakat KEMAS Parlimen Bukit Gantang telah mengambil satu insiatif bersama-sama dengan Kelas PKK Kampung Changkat Ibol, untuk mengadakan Majlis Bacaan Yassin di Dewan Orang Ramai Kampung Changkat Ibol. Majlis Bacaan Yassin ini bertujuan untuk merapatkan silatulrahim dikalangan masyarakat setempat disamping memberi ilmu kepada mereka berkaitan kelebihan-kelebihan pada bulan Ramadhan.

Penglibatan masyarakat setempat di majlis ini cukup menggalakkan. Majlis ini turut dihadiri oleh Datin Puziah binti Noh, isteri kepada CEO Yayasan Bina Upaya Negeri Perak. 

" Saya berbesar hati dijemput oleh KEMAS Bukit Gantang serta Jawatankuasa Kelas PKK Kampung Changkat Ibol didalam majlis ini kerana jarang sekali program-program dilaksanakan di Kampung ini khususnya anjuran KEMAS. Saya lihat dan percaya KEMAS mampu menyatupadukan masyarakat sekitar dengan pelbagai aktiviti pada masa-masa yang akan datang " kata Datin Puziah Noh ketika temuramah.

Majlis ini telah diketuai oleh Ustazah Syarifah binti Musa yang juga merupakan mantan Pemaju Masyarakat Bina Insan KEMAS Parlimen Bukit Gantang. Ustazah Syarifah telah bersara sekitar tahun 2009. Beliau turut menyampaikan tazkirah petang pada petang berkenaan. 

Terdapat  fadhilat kelebihan di bulan Ramadhan, diantaranya jin dan syaitan akan diikat, amalan-amalan sunat akan diberikan pahala fardu dan perkara-perkara fardu digandakan sehingga 70 kali, pintu neraka akan ditutup dan dibukakan kesemua pintu syurga serta Allah perhiaskan syurga, dilepaskan tahanan neraka dan bulan Ramadhan ini adalah bulan yang mendatangkan keampunan.

Masyarakat setempat juga berterima kasih kepada KEMAS Bukit Gantang kerana dapat menubuhkan Kelas PKK di kampung mereka mulai Februari 2014. Mereka juga berharap kelas KEMAS tetap beroperasi di bulan puasa ini.

" Kami berharap kelas masakan yang baru dihidupkan dikampung kami dapat dijalankan di sebelah pagi pada bulan Ramadhan ini dan diadakan lagi aktiviti-aktiviti lain bagi menarik lebih ramai penyertaan di Kelas PKK Kampung Changkat Ibol ini " kata Pn. Hamizan Khairuddin, Pengerusi Kelas PKK Kg. Changkat Ibol.